XMC Major (rtd) Ramli Ab Rahim The Doer

Wednesday, December 31, 2008

Berkomunikasi Dengan Ibu Mertua


Berkomunikasi Dengan Ibu Mertua

Oleh: Mejar (B) Ramli Abdul Rahim

Perunding Komunikasi


Apabila menonton kembali filem ever-green “Ibu Mertuaku” lakonan Mak Dara yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, kita diberi persepsi seolah-olah itulah wajah realiti ibu mertua dalam kehidupan di alam nyata.

Watak ibu mertua yang dipaparkan itu hanyalah sebahagian daripada ciri-ciri keterlaluan yang mungkin wujud tetapi jika benar-benar berlaku ia mungkin hanyalah satu “isolated case”.

Dalam banyak siri ceramah komunikasi yang saya berikan, saya sering mengusik peserta muslimah yang menjadi audien saya tenteng persepsi mereka tentang ibu mertua.

Saya sengaja tanyakan berapakah di kalangan mereka yang tinggal sebumbung dengan ibu mertua, ternyata hanya ada dua atau tiga orang sahaja.

Ada yang berterus terang “lecehlah tiinggal dengan ibu mertua,” dan saya membiarkan mereka meluahkan perasaan dan pendapat mereka.

Ada yang mengatakan,”ibu mertua saya baik, saya sangat sayang dengannya”.

Ternyata apabila ditanyakan kepada peserta lelaki ramai yang berkata mereka tidak mempunyai banyak masalah untuk tinggal bersama dengan ibu mertua.

Ada juga ibu-ibu tunggal yang mempunyai ramai menantu tetapi memilih untuk melalui kehidupan senja bersendirian tanpa gangguan hilaian dan tangisan cucu.

Kenapa ada muslimah yang kurang selesa untuk bertemankan ibu mertua mungkin justeru sikap ibu mertua itu sendiri yang kurang memberikan ruang komunikasi yang positif.

Kadang-kadang terdapat ibu mertua yang mempunyai tanggapan yang sudah “pre-conceived” terhadap menantu perempuan atau mungkin kurang berkenan sejak anak dan menatunya diijabkabulkan lagi.

Jika ibu mertua sudah jijik terhadap menantu, (dalam kes filem “Ibu Mertuaku” menantu lelaki), maka elemen ketegangan seperti itu perlu kepada bedah siasat kepada punca-puncanya.

Sekiranya terdapat komunikasi yang kurang sihat di antara ibu mertua dan menantu,maka sebagai menantu perlulah dicari jalan bagimana untuk menambat hati ibu mertua.

Saya tinggal bersama ibu mertua selama 20 tahun sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dan sempat dikelilingi oleh anak-anak saya yang membacakan ayat-ayat Al-Quran.

Apabila pulang dari kerja sekitar jam 6.30 petang saya akan menegurnya dan saya akan bertanya, “emak dah sembahyang?”

Tentulah pada saat itu lazimnya ibu mertua saya sudah menunaikan solat, tetapi itulah bentuk komunikasi saya sebagai pemanis untuk menegur ibu mertua saya.

Memang lelaki jarang punya masa untuk bermesra lama-lama dengan ibu mertua justeru banyak masa yang digunakan di luar rumah kerana urusan berkerja dan sebagainya.

Bagi suri rumah yang tidak berkerja sudah tentu masa di rumah akan dikongsi bersama dengan ibu mertua dan perhubungan itu perlu dijalin sebaik sahaja tinggal bersama.

Apakah yang menjadi daya tarikan ibu mertua lebih menyayangi menantu daripada anak sendiri adalah bertitik tolak daripada penampilan menantu itu sendiri.

Untuk menjadi muslimah yang ideal yang disayangi tentunya tempatnya di dapur dan di samping melayani suami isteri yang ditemani ibu mertua perlu prihatin dengan citarasa dan selera ibu mertua.

Tanamkan dalam minda bahawa apabila kita mengahwini seseorang kita sebenarnya mengahwini seluruh keluarganya.

Ibu bapa yang yang telah membesarkan kita hendalah dihoramati dan begitu jugalah dengan ibu dan mertua yang tidak lagi membatalkan air sembahyang.

Walaupun ajal dan maut di tangan Allah, kemungkinan usia ibu atau bapa mertua yang tinggal yang sebumbung dengan kita tidak akan lama.

Maka sewajarnya kita menyantuni mereka, dan ini akan menjadi tontonan kepada anak-anak kita agar apabila mereka dewasa nanti mereka tidak mensia-siakan kedua ibu bapa.

Komunikasi itu bukan sahaja berbentuk verbal tetapi segala tindak tanduk kita janganlah membayangkan sebarang konfrantasi terhadap mertua.

Wajah yang manis itu perlu diukir dan keikhlasan itu bukanlaah dalam bentuk ucapan semata-mata tetapi lahir daripada rasa hormat kerana siapalah tanpa kedua ibu bapa.

Lirik lagu Allahyarham R. Azmi “ayah dan ibu, ayah dan ibu, engkaulah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari”, kemudian dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad perlu dihayati.



No comments:

Post a Comment

I appreciate your visits and comments here.