Majalah Perajurit Ogos 2008
NASIONALISME DAN PATRIOTISME
DI SEBALIK MERDEKA
Oleh: Mej (B) Ramli Abdul Rahim
31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat yang tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana itulah detik negara ini terlepas daripada belenggu penjajahan.
Sejarah perjuangan untuk mencapai kemerdekaan yang didokong gerakan politik meski tidak banyak menumpahkan darah untuk menentang penjajah namun perjalanan ke arah kemerdekaan ditunjangi semangat nasionalisme dan patriotisme rakyat.
Dalam perjalanan untuk melahirkan sebuah negara bangsa yang merdeka setelah 500 tahun dijajah bermula dengan Portugis, Belanda, British dan Jepun bibit-bibit perjuangan untuk bebas telah bermula sebelum kedatangan Jepun ke Tanah Melayu.
Nama-nama pejuang seperti Dato’ Bahaman dan Mat Kilau hanyalah dua contoh yang mewakili pejuang-pejuang lain yang tidak melakarkan nama di atas kanvas sejarah untuk membebaskan diri dari lingkaran kolonialisme.
Pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British di Perak pada 2 November 1875 di Pasir Salak hanyalah salah satu manifesti perjuangan meski ditanggapi penjajah sebagai aksi durkaha terhadap autoriti British di Tanah Melayu.
Istilah Nasionalisme mempunyai dua maksud, pertama untuk merujuk sebagai ideologi dan keduanya sebagai sentimen dan sebagai ideologi nasionalisme adalah menjurus kepada identiti sebuah entiti sesuatu bangsa.
Nasionalisme adalah ideologi yang dieksport pada abad ke-19 dan ke-20 daripada benua Eropah ke seluruh pelusuk alam dan yang ironisnya ia menjadi senjata yang melawan kolonialisme.
Semangat Nasionalisme itu secara empirik boleh ditakrifkan sebagai semangat untuk menentukan politik dan status sesebuah entiti atau negara terutamanya dalam zaman penjajahan melanda seluruh dunia sebelum dan sesudah Perang Dunia Pertama.
Sejarah kelahiran ideologi Nasionalisme itu sendiri adalah hasil daripada sejarah politik Eropah Barat dengan kejatuhan sistem feudal seperti apa yang dizahirkan selepas Revolusi Perancis dan Revolusi Itali yang mendorong kepada samangat kebangsaan menentang dominasi orang asing.
Patriotisme didefinisikan sebagai sikap-sikap positif dan menolong terhadap 'tanah air', oleh individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang meliputi sikap-sikap seperti bangga dengan pencapaian dan budaya bangsa, kehendak memelihara ciri-ciri bangsa dan dasar budayanya.
Patriotisme berhubung rapat dengan nasionalisme, dan istilah-istilah ini sering digunakan bertukar ganti seolah-olah sinonim dan memberi konotasi yang sama namun nasionalisme sebagai ideologi ia selalunya memupuk nilai-nilai patriotik.
Ungkapan negaraku benar atau salah yang diungkapkan oleh seorang pegawai tentera laut Amerika Syarikat Stephen Decatur membayangkan bahawa seseorang wajar mengutamakan kepentingan negara berbanding dengan kepentingan diri dan kelompoknya.
Memetik kata-kata Barlett perbezaan di antara patriotisme dan nasionalisme adalah seorang patriot itu bangga dengan negaranya dan apa yang dilakukannya, manakala seorang nasionalis bangga dengan negara tidak kira apa yang dilakukan negaranya.
Di dalam Islam itu sendiri terdapat kata-kata yang masyhur iaitu “Cintakan tanah air itu adalah sebahagaian daripada Iman” bagi membayangkan bahawa sayangkan bumi tempat tumpah darah itu adalah satu fitrah insani.
Peperangan berlaku justeru keputusan politik dan rakyat yang menunjangi kewujudan sesebuah negara sanggup mengorbankan nyawa dan gugur dalam medan pertempuran demi tanah air merupakan contoh patriotisme yang paling unggul.
Di negara ini untuk mensohorkan patriotisme ini selalunya diadakan upacara rasmi yang simbolik dengan penuh istiadat di Tugu Negara bagi mengenang jasa para pejuang sebagai penghargaan kepada mereka pada zaman-zaman mencabar sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Patriotisme juga dipamerkan melalui tindakan simbolik, seperti mempamerkan bendera, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara di peringkat umum.
Bicara patriotisme begitu tersohor dalam ungkapan oleh pemuka-pemuka dunia semasa Perang Dunia Kedua dan nama-nama seperti Winston Churchill, Jeneral De Gaulle, Jeneral Patton, dan Jeneral Hitler meledakkan semangat ketika perang menjadi agenda pada waktu itu.
Tahap patriotisme berubah-ubah sepanjang masa, dan berbeza-beza di kalangan komuniti politik dan ini jelas semasa Malaysia menghadapi ancaman oleh pihak luar semasa zaman Konfrantasi 1963-1965.
Dalam keadaan terdesak dan krisis manusia akan memikirkan bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung yang perlu dipertahankan kerana itulah tanggungjawab yang sewajarnya dilaksanakan.
Dalam sejarah perang yang berlarutan kita menyaksikan ribuan rakyat yang menjadi pelarian perang seperti di Vietnam, Iraq, Palestin, dan ada rakyat yang tidak diperakukan pemerintah seperti di Myamar menjadi diaspora.
Ternyata patriotisme itu juga terbatas kerana secara teorinya mungkin cantik tetapi realiti orang yang berbicara di bawah dentuman bom dan peluru tidak akan sama dengan kita yang menjadi pemerhati dan berbicara daripada daerah yang aman damai.
Senario di Kedutaan Amerika Syarikat pada hari Saigon jatuh ke tangan Vietcong pada 1975 memaparkan erti nasionalisme dan patriotisme di mana rakyat yang telah dimomoki ideologi yang menggerunkan berebut-rebut untuk memasuki kedutaan tersebut untuk dihijrahkan ke Amerika.
Lantas rakyat Vietnam yang berhijrah ke Negara baru itu akan mempunyai Negara baru dan ketaatannya tentu akan berhijrah dan semangat patriotisme juga akan berubah lantas Negara asal mereka akan menjadi tinggal kenang- kenangan.
Hatta semasa Perang Dunia Kedua ramai rakyat Jepun yang tinggal di Hawai telah menjadi rakyat Amerika semasa Pearl Harbour diserang Armada Jepun, ketaatan mereka kepada Amerika tetap kukuh walaupun mereka berasal dari Jepun.
Bagi Presiden Alberto Fujimori yang dilahirkan di Peru pula mengambil keputusan bersembunyi di tanah nenek moyangnya di Jepun apabila beliau dilibatkan dengan skandal rasuah pada 2000 ternyata dia masih sayangkan negara nenek moyang asalnya.
Semasa Perang Revolusi Indonesia melawan Belanda yang terkenal dengan bambu runcing sekitar tahun 40-an ia turut menggamit rakyat negara ini yang berasal dari Indonesia pada ketika itu untuk pulang membantu perjuangan saudara-saudara mereka atas dasar nasionalisme dan patriotisme.
Sejarah Malaysia dan Indonesia yang sering dikaitkan sebagai negara serumpun turut menyaksikan pejuang nasionalis Ibrahim Yaccob anak kelahiran Pahang berjuang di Indonesia dan kemudiannya dikebumikan di Makam Pahlawan Kalibata.
Apabila kita merungkai sejarah perjuangan sebelum kemerdekaan dan penglibatan anak-anak tempatan kita tidak boleh melupakan mereka yang telah menyerahkan jiwa raga mereka dalam dunia tentera dan polis serta pasukan sukarela.
Nama Lt Adnan Saidi daripada Rejimen Askar Melayu akan sentiasa dikenang kerana semangat patriotisme yang terpahat di dalam jiwanya untuk berjuang mempertahankan bumi Singapura di Bukit Candu hingga ketitisan darah yang akhir.
Lt Adnan menjadi hero untuk Singapura dan Malaysia untuk sepanjang zaman kerana sejarah tidak boleh menipu dan semangat kenegaraan dan sayangkan negara meskipun negara kita masih terjajah pada ketika tidak membuat Adnan bertanya untuk siapa aku berjuang.
Sejarah melakarkan pada 14 Februari 1942, Jepun melancarkan serangan ke atas Bukit Chandu, Lt Adnan berjaya membunuh 20 orang tentera Jepun dan sesudah itu dia tidak dapat menahan kemaraan mereka.
Dalam setiap perjuangan ia perlu dibayar hatta dengan harta, wang ringgit atau nyawa dan dalam peperangan harga yang perlu dibayar demi negara yang tercinta adalah nyawa soldadu.
Bungi popi pernah menjadi lambang dan dijual sebagai kenang-kenangan pada awal tahun 60-an untuk mengenang pahlawan yang gugur semasa zaman sebelum kemerdekaan tetapi apabila bunga itu dikonotasikan dengan dadah maka bunga popi tidak lagi dijadikan simbol patriotisme.
Dalam dunia ketenteraan semangat sayangkan pasukan dan semangat berpasukan (espirit de corp) memang menjadi rempah ratus kehidupan dan budaya yang sinonim dengan disiplin tentera yang keras.
Semangat yang kental dipupuk sebaik sahaja seseorang itu menyarungkan uniform dan segala ciri-ciri yang positif dicerna melalui kepimpinan dan latihan yang berterusan bagi melahirkan tentera yang kuat secara fizikal dan jiwa serta semangatnya dicanai bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Mengikut Geneva Convention apabila seorang anggota tentera menjadi tawanan perang, apa yang boleh dinyatakan hanyalah nombor tentera dan nama sahaja dan soalan-soalan lain yang berhubung kait dengan komposisi dan kedudukan pasukan akan terus dipertahankan dan dirahsiakan.
Demi sayangkan negara dan pasukan, sejarah telah mencatatkan bahawa ada anggota tentera Jepun sanggup membunuh diri kerana ingin mempertahankan maruah dan rahsia negara daripada menanggung malu.
Semangat patriotisme dan nasionalisme yang ditunjukkan oleh juruterbang kamikaze (Zero Fighters) dan anak-anak kapal selam Jepun semasa Perang Dunia Kedua dengan mensasarkan pesawat dan kapal selam ke sasaran musuh adalah simbol terhadap keyakinan apa yang mereka perjuangkan.
Dalam era sesudah menipisnya ideologi komunis dan kejatuhan Kesatuan Soviet dan tamatnya perang dingin dan dalam abad terbaru ini kita berhadapan dengan ancaman baru iaitu kolonialisme bentuk baru, iaitu penjajahan minda.
Dunia yang kini tanpa sempadan membuat kita tidak mempunyai garis pemisah meski secara gerograpinya kita berbeza dan bagi anak-anak yang lahir sesudah merdeka tentunya ada di antara mereka yang tiba-tiba tercari-cari erti kemerdekaan yang hakiki.
Buat generasi anak-anak terkini yang enggan membaca sejarah kerana nikmat hidup mewah, mereka tidak akan mengerti erti jerit perit generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan dan laungan ‘MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA’ yang dikumandangkan Bapa Merdeka Tunku Abdul Rahman, 51 tahun yang lalu.
No comments:
Post a Comment
I appreciate your visits and comments here.