ANIQAH, Ogos 2008
Bagaimana Anak-anak Membaca Sebuah Kemerdekaan
Oleh: Mejar (B) Ramli Abdul Rahim
Setelah 51 tahun berlalu laungan ‘MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA’ yang dipekikkan oleh Bapa Merdeka Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 masih menghiasi peti tv menjelang ulang tahun peristiwa bersejarah itu.
Rakyat diajak merenung erti sebuah kemerdekaan yang telah digarap oleh generasi terdahulu dan sebahagian besar daripada nama mereka tidak tercatat di atas kanvas sejarah.
Apakah erti sebuah kemerdekaan bagi anak-anak yang dilahirkan selepas zaman merdeka tentulah berbeza dengan mereka yang dilahirkan sebelum merdeka yang telah mengharungi segala cerita perit dan duka.
Hari ini anak-anak kita berada dalam zaman kecanggihan teknologi dan mengharungi kehidupan yang selesa maka apakah yang dapat mengetuk jiwa nurani insan yang kini lebih terdedah dengan tamadun madaniah yang menjurus kepada nafsi-nafsi.
Nama-nama seperti Dato’ Maharajalela yang membunuh J.W.W. Birch, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau mungkin kedengarannya begitu asing buat mereka kerana sejarah bukan mata pelajaran yang aula di sekolah.
Kalau ditanyakan secara serius kepada anak-anak hari ini tentang nasionalisme dan patriotisme, dikotomi itu akan menjadi persis jigsaw puzzle, maklumlah mereka dikelilingi kesenangan.
Anak-anak kita berada dalam zon yang selesa kerana mereka tidak merasai kesusahan, maka mereka tidak ambil pusing dengan sejarah dan kita tidak boleh menyalahkan mereka seratus peratus kalau mereka buta sejarah.
Memang sejarah untuk merungkaikan diri daripada belenggu kolonialisme di sebahagian sesetengah negara yang terjajah sesudah tamat Perang Dunia Pertama dan Kedua kebanyakannya adalah dengan kekuatan peluru.
Omar Mokhtar pejuang kemerdekaan Libya yang mati ditali gantung oleh algojo penjajah Itali pada 16 September 1931 di hadapan khalayak rakyat Libya telah menjadi ikon dan sumber perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan Libya.
Bagi Jose Rizal hero Filipina semasa berlaku Revolusi Filipina melawan penjajah Sepanyol masih sempat merakamkan sajak dari dalam penjara berjodol “Ultimo Adios” yang menyatakan perasaan kasihnya kepada tanahairnya sebelum dihukum bunuh pada 30 Disember 1896.
Bagaimana anak-anak kita bisa membaca erti sebuah kemerdekaan yang hakiki hanya boleh direalisasikan jika kita memerdekakan madrasah pemikiran mereka.
Merdeka bukan bererti bebas untuk melakukan apa sahaja, kerana hidup kita ini ada pertautannya dengan syariat dan pengisian sebuah kemerdekaan itu mesti disandarkan kepada sumber wahyu.
Maka kita tidak boleh menyalahkan anak-anak zaman ini semata-mata kerana kehilangan arah lalu mereka menterjemahkannya dengan dadah, merempit, melepak, tergiur dengan hiburan yang melambak-lambak mabuk kehilangan jati diri.
Apakah patriotisme itu hanya slogan untuk pada saat-saat sukar dan tercabar umpamanya ketika Malaysia menghadapi ancaman Konfrantasi 1963-1965 yang membuat rakyat gusar.
Apabila negara berkembang maju dengan ekonominya kukuh maka rakyat berada dalam daerah yang selesa maka semangat sayangkan negara jarang diberi penekanan.
Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini tidak akan memberi makna jika generasi pengganti yang kita sediakan dihanyutkan dengan kekuatan madiah yang rapuh dan apabila segalanya dinilai dengan materi semata-mata.
Hadarah materi yang terbelenggu tanpa roh insani yang hakiki berdasarkan wahyu merupakan penjara bagi generasi yang tidak punya agenda untuk mengisi sebuah kemerdekaan yang perlu dipertahankan.
Madrasah pemikiran itu bermula di rumah dengan tarbiyah dan kedua ibu bapa bertanggungjawab untuk menjadi role model pertama yang juga merupakan qiadah dan mensohorkan qudwah hasanah bagi anak-anak generasi pengganti.
No comments:
Post a Comment
I appreciate your visits and comments here.