XMC Major (rtd) Ramli Ab Rahim The Doer

Tuesday, January 13, 2009

COLD WAR


Menyingkap Era PERANG DINGIN

1946-1991


Oleh : Mej (B) Ramli Abdul Rahim TUDM

Apabila kita menyingkap kembali tabir sejarah konflik di abad kedua puluh, kita tidak akan dapat melupakan era Perang Dingin yang bermula sejak berakhir Perang Dunia Kedua di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Perang Dingin itu mendapat nama justeru kedua-dua pelaku di arena perhubungan antarabangsa itu takut untuk berperang bersemuka sebaliknya sering menggunakan proksi untuk menunjukkan taring masing-masing.

Perang Dingin adalah senario konflik, ketegangan dan persaingan yang wujud di antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union yang dipamerkan dalam gabungan tentera, propaganda, pengintipan, pembangunan senjata, perindustrian dan pembangunan teknologi kompetitif.

Walaupun Amerika Syarikat dan Soviet Union telah bersekutu bersama menentang kuasa-kuasa Axis sepanjang Perang Dunia Kedua, kedua-dua negera tersebut tidak bersetuju dalam banyak hal, terutamanya bentuk dunia yang harus dicernakan bagi menghadapi iklim politik dunia pasca-perang.

Sepanjang Perang Dingin dunia menyaksikan ketegangan antarabangsa seperti Berlin Blockade (1948–49), Perang Korea (1950–53), Krisis 1961 , Perang Vietnam (1959–1975), perang Rusia di Afghanistan (1979–89) dan Krisis Misil Cuba 1962 yang melonjakkan kebimbangan yang akan mengakibatkan Perang Dunia Ketiga.

Tidak terdapat konsensus di kalangan ahli sejarah mengenai titik permulaan bagi Perang Dingin dan kebanyakan ahli sejarah menganggap ia bermula setelah tamat Perang Dunia Kedua, dan ada yang berpendapat ia bermula pada penghujung Perang Dunia Pertama, walaupun sebenarnya ketegangan antara Empayar Rusia dan Empayar British dan Amerika Syarikat telah dikesan pada pertengahan abad yang ke-19.

Pertembungan ideologi antara komunisme dan kapitalisme bermula pada 1917, apabila Soviet Rusia muncul hasil daripada Revolusi Rusia dan menjadi negara pertama komunis dunia yang menyebabkan hubungan di antara Soviet Rusia dan Amerika Syarikat tidak menentu untuk jangka masa yang panjang.

Persidangan Yalta yang berlangsung pada 4-11 Februari 1945 menemukan tiga pemimpin Bersekutu iaitu Joseph Stalin, Winston Churchill dan Franklin Roosevelt membincangkan penyusunan semula Eropah selepas Perang Dunia Kedua dengan tujuan utama untuk mewujudkan negara-negara yang telah ditakluk dan dimusnahkan oleh Jerman.

Persidangan Yalta bersetuju untuk membelah Jerman kepada wilayah Berlin Timur yang dikuasai Rusia semasa perang dan Berlin Barat wilayah yang berbeza, manakala Poland diberi kemerdekaan dan Yugoslavia juga diwujudkan.

Sepanjang era Perang Dingin perlumbaan senjata nuklear di antara Amerika Syarikat, Soviet Union dan sekutu masing-masing menjadi agenda yang mewarnai sejarah ketegangan global.

Senjata nuklear yang pertama telah dicipta oleh Amerika melalui Projek Manhattan sepanjang Perang Dunia Kedua untuk digunakan ke atas kuasa-kuasa Axis.

Rusia tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai eksperimen senjata nuklear Amerika sehingga Stalin telah diberitahu pada Persidangan Potsdam pada 24 Julai 1945 adalah satu petanda bahawa kecurigaan itu sentiasa wujud dan rasa cemberu mencemburui itu cuba dipendam oleh kedua-dua kuasa besar.

Tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua menyaksikan Amerika Syarikat memonopoli pengetahuan nuklear dan pada pada mulanya uranium adalah bahan yang sukar untuk didapati sementara di belakang tabir Rusia terus berusaha dengan marah untuk membina senjata atomnya sendiri.

Perang Korea (1950-53) adalah saat Pering Dingin menjadi konflik global yang menyaksikan peranan yang dimainkan oleh dua kuasa besar setelah Korea dibebaskan oleh Jepun pada 1945.

Amerika meletakkan tenteranya di Korea sehingga 1946 dan Korea dipecah dua di garisan selari 38. Sementara Korea Utara yang diperintah komunis memohon restu Rusia untuk menakluk Korea Selatan.

Stalin melihat Amerika tidak berani untuk terlibat dalam konflik di Korea lantas peluang untuk meneruskan konfrantasi Perang Dingin diteruskan dengan membantu Korea Utara dengan impiannya tanpa secara berdepan terus dengan Amerika.

Pada 25 Jun 1940 Korea Utara menyerang Korea Selatan dan dengan mudah menawan Korea Selatan dan Amerika bimbang lalu meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menyokong Korea Selatan dalam usahanya untuk menyekat komunisme tersebar luas di seluruh dunia.

Pada 15 September Jeneral MacArthur memimpin ketumbukan PBB membuat pendaratan di Inchon yang melibatkan 300,000 orang tentera PBB di mana 260,000 adalah tentera Amerika.

Sejarah konflik mewarnai Jerman yang difaraidkan setelah tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Rusia tidak bersetuju dengan Amerika dan Britain dengan ketetapan yang sewajarnya dilakukan terhadap Jerman semasa sidang Postdam (1945).

Terdapat percanggahan pendapat justeru Amerika dan Braitain mahukan Jerman dibangunkan semula ekonominya, tetapi Rusia yang telah mendapat hak ke atas 10% ke atas industri di bahagian barat Jerman, ia juga inginkan kawasan di sebelah timur.

Amerika meperkenalkan mata wang baru di Berlin dan wang yang lama membanjiri kawasan Soviet dan kepungan telah dibuat di antara kawasan Berlin dan kawasan barat dan Soviet telah bersedia dengan persediaan keperluan makanan.

Sebayak 380 penerbangan setiap hari telah dibuat oleh tentera Amerika sebagai salah satu propaganda untuk menjadikan keadaan bertambah buruk yang mungkin boleh mencetuskan peperangan yang besar.

Tentera Amerika yang pada asalnya berhasrat untuk menggunakan kekerasan untuk ke Berlin terbantut kerana Truman memilih untuk menerbangkan semua keperluan tentera melalui udara dan pada 12 Mei 1949 Stalin membuka sempadan Berlin.

Sempadan di antara Berlin Timur dan Berlin Barat sentiasa dibuka dan setiap hari penduduk kedua-dua entiti itu seberang menyeberang untuk ursuan harian sehinggalah pada 4 Ogos pemimpin komunis di Moscow mengambil keputusan untuk menutup sempadan Berlin Timur dan Barat.

Pada 12 Ogos 1961 pada jam 4.00 petang
Walter Ulbricht, pemimpin Jerman Timur , menandatangani perintah untuk penutupan sempadan Berlin Timur dan Berlin Barat dan pada keesokan harinya pada tengah malam Ahad, tentera, polis dan "Kampfgruppen" mula merealisasikan pembinaan tembok Berlin.

Tembok yang dibina itu memisahkam dua bandar dua warga negara selama 28 tahun yang memecahkan jalan, jalan keretapi, tanah perkuburan dan penduduk Berlin Timur tidak dibenarkan langsung berjalan ke Berlin Barat sehinggalah ia diruntuhkan pada 1989.

Krisis Misil Cuba merupakan titik hitam dalam sejarah Perang Dingin Amerika dan Soviet yang hampir-hampir mencetuskan perang nuklear yang mungkin mengakibatkan kemusnahan yang hebat jika peristiwa pengeboman bom atom di Hiroshima semasa Perang Dunia Kedua boleh dijadikan iktibar.

Angkatan tentera Amerika telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dan pemimpin tentera Soviet di Cuba telah bersedia dengan kelengkapan senjata nuklear untuk mempertahankan Cuba jika ia ditawan Amerika.

Ketegangan itu dapat diredakan dengan kebijaksanaan diplomasi di antara Presiden Amerika John F. Kennedy dan Perdana Menteri Rusia Nikita Khrushchev kerana pada 1962, Soviet memang ketinggalan dari segi perlumbaan senjata jika dibandingkan dengan persiapan dan kekuatan Amerika.

Misil Soviet hanya boleh dihalakan ke seluruh Eropah, tetapi misil Amerika mempunyai keupayaan untuk mensasarkan keseluruhan Soviet Union dan pada bulan April 1962 Khrushchev bercadang untuk meletakkan misil jarak dekat di Cuba.

Dengan meletakkan misil di Cuba adalah difikirkan ia akan menambah kekuatan strategik Soviet terhadap Amerika dan ia merupakan deterrent kepada ancaman serangan Amerika ke atas Cuba.

Sementara itu kegagalan serangan Bay of Pigs pada 1961 membuatkan Fidel Castro berfikir kemungkinan serangan kedua akan terjadi maka dia membenarkan rancangan Khrushchev menempatkan misil di pulau itu pada hujung musim panas 1962.

Kennedy mengambil keputusan membuat pengepungan ke atas pulau Cuba bagi menghalang kedatangan kapal laut Soviet dan beliau juga memberi amaran bahawa sebarang serangan yang dilancarkan daripada Cuba merupakan serangan Soviet dan beliau meminta semua senjata ofensif dikeluarkan daripada Cuba.

Apabila kita menyorot Perang Vietnam,ia sebenarnya adalah satu legasi kegagalan Perancis untuk berhadapan dengan revolusi Viet-Minh yang diketuai oleh Ho Chin Minh yang ditunjangi ideologi komunisme yang mewujudkan Vietnam Utara dan Vietnam Selatan adalah entiti yang berbeza yang anti-komunis dipimpin oleh Ngo Den Diem yang merdeka pada 1954.

Kejayaan komunis dalam Perang Saudara China 1949 dan campur tangan China terhadap PBB di Korea menjadikan hubungan Amerika-China dalam kedaan yang tidak selesa dan boleh dibaca sebagai satu Perang Dingn juga.

Banyak peristiwa yang menjadikan Amerika condong untuk menyokong Perancis dan kemudiannya kerajaan yang bukan komunis di Vietnam Selatan justeru ahli politik dan pemikir tentera Amerika berpandangan bahawa Perang Vietnam adalah berpaksi kepada doktrin perang revolusi China.

Perang Vietnam Kedua (1965-1975) yang melibatkan Amerika terjadi kerana pembuat dasar Amerika percaya jika keseluruhan Vietnam jatuh ke tangan komunis, komunisme akan merebak ke seluruh Asia Tenggara dan ia dikenali sebagai “Teori Domino”.

Amerika sedari awal telah menjadi penasihat kepada kerajaan Vietnam Selatan yang anti-komunis dan telah membuat polisi yang menekan rakyat sehingga menyebabkan penentangan dan pada 1965 Amerika berusaha untuk menyelamatkan kerjaan Vietnam Selatan.

Walau bagaimanapun, pada akhirnya Amerika gagal untuk mencapai matlamat sebagai penyelamat sebaliknya pada 1975 Vietnam Selatan telah tombang dan disatukan kembali dengan Vietnam Utara dan ia dikenali sebagai Republik Sosialis Rakyat Vietnam.

Semasa konflik di Vietnam ia telah mengorbankan jutaan jiwa iaitu seramai 3.2 juta rakyat Vietnam, 2 juta rakyat Laos dan Cambodia manakala Amerika 58,000 askarnya terkorban di Vietnam dan ia terus dipertikaikan takyatnya kerana keterlibatan dalam perang yang membawa aib besar kepada kuasa dunia itu.

Jika kita imbas kembali Perang Arab-Israel 1973 yang melibatkan negara Arab iaitu Mesir dan Syria dan Israel, ia adalah usaha untuk mendapatkan kembali wilayah yang ditakluk Israel pada Perang Enam Hari 1967 dan di sebalik konflik tersebut ada juga kuasa besar yang terlibat.

Dari segi persenjataan memang negara Arab pada masa itu condong kepada Soviet dan sokongan Amerika terhadap Israel bukanlah sesuatu lagi yang rahsia.

Amerika akhirnya menjadi orang tengah untuk mengendurkan ketegangan Arab-Israel dan hasil daripada peperangan tersebut menjadikan Rusia renggang dengan Arab.

Akhirnya jika kita menoleh ke Afghanistan pada 1979, ia seolah-olah menjadi sebagai pelengkap kepada Perang Dingin sejak Berlin, Korea, Hungary, Cuba dan Vietnam, Afghanistan adalah medan proksi terakhir.

Pada Hari Natal 1979, pasukan para Rusia mendarat di Kabul, ibu negara Afghanistan di tengah-tengah negara yang kemelut dilanda perang saudara pada zaman Perdana Menterinya Hafizullah Amin cuba untuk mententeramkan rakyat yang gundah dengan idea pembaratan.

Beribu-ribu rakyat telah menggembelingkan tenaga di dalam kumpulan Mujahideen yang mempunyai misi yang suci untuk Allah dan bumi Afghanistan dan akhirnya mereka berjaya mengusir Rusia daripada bumi Afghanistan.

Zaman Perang Dingin juga turut menyaksikan pertembungan di antara agensi perisikan KGB dan perisikan Amerika CIA dan mereka bertembung di mana-mana dan CIA juga punya pernanan untuk memberi senjata dan latihan kepada puak Mujahideen.

Dengan perpecahan Soviet pada 1991 ia merupakan paku terakhir kepada keranda Perang Dingin yang telah berlangsung selama lebih daripada setengah abad mewarnai citra politik dunia pada abad ke-21.

Setelah kuasa bipolar tidak lagi menjadi pemangkin politik dunia, ternyata dunia yang mengecut menjadi unipolar di bawah telapak kaki Amerika ternyata tidak menjanjikan “New Order” yang muluk dan manis.

Paman Sam tanpa “Beruang Merah” bukanlah wajah ideal senario politik dunia yang masih goyah justeru kapitalisme yang diperjuangkan Amerika kini menghantui ekonomi dunia yang tidak menentu.

______

Kronologi Perang Dingin yang panjang yang melibatkan Amerika Syarikat dan Soviet Union:

1940an

· 1945: 5-11 Februari - Sidang Yalta – Permulaan Perang Dingin

· 1945: 6 Ogos -- Amerika Syarikat pertama kali menggunakan bom atom

· 1945: 8 Ogos -- Russia memasuki perang melawan Jepun

· 1945: 14 Ogos 14 – Jepun menyerah kalah tamat Perang Dunia Kedua

· 1946: Mac -- Winston Churchill membuat ucapan "Iron Curtain"

· 1947: Mac -- Truman mengistiharkan peranan aktif dalam Perang Saudara Greek

· 1947: Jun – Pengisytiharan Rancangan Marshall

· 1948: Februari – Komunis mengambil alih Chechoslovakia

· 1948: 24 June -- Pengepungan Berlin

· 1949: Julai -- NATO termetrai

· 1949: 12 Mei -- Pengepungan Berlin tamat

· 1949: September -- Mao Zedong, pemimpn Komunis menguasi China

· 1949: September – Soviet meletupkan bom atom yang pertama

1950an

· 1950: Jun -- Perang Korea bermula

· 1953: Julai -- Perang Korea tamat

· 1954: Mac -- KGB ditubuhkan

· 1954 -- CIA menolong penggulingan rejim di Iran dan Guatemala

· 1954: Julai --Vietnam berpecah di garis selari 17

· 1955: Mei – Perjanjian Warsaw ditubuhkan

· 1956: Oktober - November – Pemberontakan di Hungary dipatahkan Mesir mengawal Terusan Suezl; Amerika enggan menolong mengambil kembali

· 1957: Oktober 4 --Sputnik Rusia dilancarkan ke angkasa lepas

· 1958: November -- Khrushchev meminta pengunduran tentera daripada Berlin

· 1959: Januari -- Cuba diambilalih oleh Fidel Castro

· 1959: September -- Khrushchev me;awat Amerika Syarikat

1960an

· 1960: Mei -- Soviet Rusia mendedahkan pesawat pengintip Amerika ditembakjatuh di wilayah Rusia

· 1960: November -- John F. Kennedy dilantik Presiden Amerika Syarikat

· 1961: April -- Penaklukan Bay Of Pigs

· 1961: Julai -- Kennedy memohon 25% perbelanjaan untukketenteraan

· 1961: 13 Ogos -- Sempadan Berlin ditutup

· 1961: 17 Ogos – Pembinaan Tembok Berlin

· 1962: -- Penglibatan Amerika di Vietnam

· 1962: Oktober -- Krisis Misil Cuba

· 1963: July -- Nuclear Test Ban Treaty dimetrai

· 1963: November -- Presiden Kennedy dibunuh di Dallas, Texas

· 1964: Ogos – Peristiwa Gulf of Tonkin

· 1965: April – Merin Amerika dihantar ke Republik Dominica untuk melawan Komunism

· 1965: Julai -- Penghantaran 150,000 tentera Amerika ke Vietnam

· 1968: Januari -- Korea Utara menawan U.S.S. Pueblo

· 1968: Ogos -- Tentera Soviet memetahkan pemberontakan Czechoslovakian

· 1969: 20 Julai -- Apollo 11 mendarat di bulan

1970an

· 1970: April -- Presiden Nixon melebarkan perang Vietnam ke Cambodia

· 1972: Julai -- SALT I ditandatangani

· 1973: Januari – Gencatan Senjata Amerika Syarikat dan Vietnam Utara

· 1973: September – Amerika menolong menumbangkan kerajaan Chile

· 1973: Oktober – Mesir dan Syria menyerang Israel; Mesir mendapat pertolongan Soviet Rusia

· 1974: Augus -- President Nixon meletak jawatan

· 1975: 17 April-- Vietnam Utara mengalahkan Vietnam Selatan

· 1979: Julai -- SALT II ditandatangani

· 1979: November -- Shah Iran digulingkan; Krisis Tawanan Iran

1980an

· 1983: -- Presiden Reagan mencadangkan Strategic Defense Initiative

· 1983: Oktober – Tentera Amerika menggulingkan pemerintah Grenada

· 1985: -- Skandal Iran-Contra (senjata dijualkepada Iran, untung digunakan untuk menyokong Kontra di Nicaragua)

· 1985: -- Mikhail Gorbachev mengambilh alih kuasa di Soviet Union

· 1986: Oktober -- Reagan dan Gorbachev membuat ketetapan memindahkan misil daripada Eropah

· 1986: November – Skandal Iran-Contra diumumkan kepada orang ramai

· 1989: Januari – Tentera Soviet troops berundur daripada Afghanistan

· 1989: Jun -- China mematahkan tunjuk perasaan pro-demoktasi; Poland merdeka

· 1989: September -- Hungary merdeka

· 1989: November – Runtuhnya Tembok Berlin

· 1989: Disember – Kerajaan komunis jatuh di Czechoslovakia, Bulgaria dan Rumania; Berakhirnya Empayar Soviet

1990an

· 1990: March -- Lithuania merdeka

· 1990: 29 Mei 29 -- Boris Yeltsin dilantik Presiden Russia

· 1990: 3 October -- Jerman disatukan semula

· 1991: April – Pakatan Warsaw dibubarkan

· 1991: Ogos -- Berakhirnya entiti Soviet Union – Tamat Perang Dingin

No comments:

Post a Comment

I appreciate your visits and comments here.