PERAJURIT SEPTEMBER 2008
MEMORI PERANG
ENOLA GAY – HIROSHIMA DAN NAGASAKI
Oleh: Mej (B) Ramli Abdul Rahim
Setelah 64 tahun berlalu, dunia terus dibayangi persoalan kewajaran Amerika menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki untuk menamatkan Perang Dunia Kedua pada saat kekuatan Jepun sudah semakin lemah.
Bom atom yang diberi jolokan “Little Boy” yang digugurkan dari Enola Gay bukanlah besar sangat tetapi impak yang diberikan olehnya menjadikan Horoshima musnah dan ia merubah sejarah perang dan Jepun pada keseluruhannya.
Bagi Colonel Paul W. Tibbets (meninggal dunia 1 November 2007 ketika berusia 92 tahun sebagai Jeneral Bersara) yang menjadi komander pesawat Enola Gay yang menggugurkan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 terus mempertahankan pendiriannya hingga akhir hayatnya.
“Saya adalah seorang tentera yang diberi tugas, saya bukan orang politik, saya bukan kurator muzium”, itulah komentar yang diberikan sekitar kontroversi pesawat Enola Gay yang digunakan untuk menggugurkan bom atom pertama semasa Perang Dunia Kedua.
Bom atom kedua Amerika digugurkan pada 9 Ogos 1945 di Nagasaki seperti yang pertama menjadikan sasarannya padang jarang padang tekukur dan mengorbankan beribu-ribu nyawa.
Akira Tashiro, seorang wartawan veteran dengan akhbar Chugoku Shimbun yang diterbitkan diHiroshima beberapa tahun lalu menegaskan, sekiranya televisyen wujud pada masa bom atom digugurkan dan setiap detik aksi dan natijah pengeboman disiarkan secara langsung, mungkin perlumbaan senjata nuklear antara Soviet Union dan Amerika tidak berlaku.
Tashiro menegaskan dunia pada keseluruhannya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di Hiroshima dan Nagasaki dan sungguh ironis selepas perang dingin tamat dunia masih dimomokkan dengan penggunaan dan perlumbaan senjata nuklear.
Kelab Nuklear yang diistilahkan kepada Negara-negara yang mempunyai keupayaan dan mempunyai senjata nuklear kini mencakupi Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis, China, India, Israel, Pakistan dan Korea Utara.
Amerika Syarikat pada awalnya menyembunyikan “Manhattan Project” untuk menghasilkan bom atom tetapi kemudiannya menghebahkan kejayaan pertama percubaan meletupkannya pda 16 Julai 1945 di Alamagordo, New Mexico.
Amerika memulakan projek membina bom atom semasa dunia masih dilanda perang dan ia diikuti Britain dan Jerman tetapi pada 1945 tenyata Jerman masih ke belakang kerana saintisnya yang kebanyakan orang Yahudi telah berhijrah ke Amerika atau Soviet Union.
Setelah kematian Roosevelt, Presiden Truman yang menggantikannya menjadi penentu dasar peperangan merancang untuk menggunakan bom atom ke atas Jepun.
Sebenarnya memang ada rancangan untuk menggunakan senjata atom di Eropah untuk disasarkan ke atas Hitler tetapi perang kian menyebelah ke pihak Berikat dan Hitler sudah kian lemah dan rancangan itu tidak dilaksanakan.
Penggunaan pesawat pengebom Boeing B-29-45-MO Superfortress – Enola Gay terus mengundang kontroversi hatta setelah lebih 60 tahun berlalu, para pengkaji sejarah dan pembuat polisi Amerika masih memperdebatkannya hinggalah hari ini.
Adakah bom atom yang digunakan di Horoshima dan Nagasaki tidak akan lagi mewarnai perang jika ada sesudah ini, terus menjadi bahan renungan kerana natijah daripada bom berkenaan memang cukup tragis.
Maka tidak hairanlah jika Kesatuan Eropah dan Amerika begitu prihatin dengan usaha Iran untuk memperkayakan unranium yang membolehkan pembikinan senjata nuklear lantas nanti akan bertambahlah lagi ahli Kelab Nuklear.
Sejarah perang memang mempunyai memori yang pahit, terutamanya bagi pihak yang terluka dan kesan daripada pengeboman tersebut masih dirasai oleh saki baki mangsa bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Memang benarlah bicara anak-anak kapal Enola Gay mereka hanyalah menjalankan perintah dan sebagai soldadu mereka akan mematuhi segala arahan daripada orang atasan.
Tetapi bagi mangsa perang dan pengguguran bom atom Hiroshima dan Nagasaki persepsi mereka tentulah berbeza dan seperti pepatah mengatakan betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Pengemboman ke atas Hiroshima dan Nagasaki memang memendekkan umur Perang Dunia Kedua tetapi tidak ramai yang merenung sejenak implikasi kepada penemuan senjata pemusnah yang baru itu untuk generasi manusia akan datang.
Seorang penulis terkenal Perancis Albert Camus memberi respons di dalam sebuah akhbar beberapa hari selepas pengguguran bom atom itu, “tamadun teknologi baru kita telah sampai ke puncak keganasan, dan kita ada dua pilihan, pembunuhan diri beramai-ramai atau menggunakan kejayaan saintifik ini secara bijaksana”.
Penulis Eleanor Roosevelt pula mengungkapkan, “ Senjata penghalang kepada penemuan baru ini adalah keazaman manusia untuk menggunakannnya bagi tujuan yang membina sahaja”.
Tenaga nuklear jika dimanfaatkan untuk kemudahan seperti sumber tenaga bagi alternatif minyak yang semakin mahal, adalah ideal, tetapi jika digunakan untuk membuat senjata, banyak mala petaka yang akan menimpa manusia.
Mempunyai senjata nuklear sebagai deteren bagi menghadapai musuh baik yang sebenar atau imaginasi bukanlah penyelesaian yang total untuk permasalahan dunia yang sering dilanda perang.
|
No comments:
Post a Comment
I appreciate your visits and comments here.